Friday, July 8, 2011

LAPORAN LAWATAN SEM 4..KENANGAN TERINDAH


1.0          PENDAHULUAN 
Pada semester 4 2010 untuk kursus PSS 3108 adalah Pengajian Sosial Sekolah Rendah. Tugasan bagi kursus Pengajian Sosial Sekolah Rendah (PSS 3108) adalah memilih sebuah kampung untuk menjalankan program anak angkat. Objektif projek ini adalah ingin mengenal pasti ciri-ciri peribadi yang boleh menyumbang terhadap pembangunan masyarakar dan negara. Selain itu, pelajar perlu memahami pelbagai agama, tradisi dan budaya masyarakat Malaysia untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu.
Projek ini merupakan salah satu kemahiran yang perlu dipelajari oleh setiap pelajar kerana projek seperti ini tidak dapat dilaksanakan di dalam bilik kuliah tetapi dapat diaplikasikan di luar bilik kuliah. Di samping itu juga, banyak perkara pelajar dapat pelajari seperti merancang langkah-langkah pelaksanaan dan menguruskan projek iaitu sebelum, semasa dan selepas melaksanakan projek. Kemahiran yang telah dipelajari dapat digunakan pada masa hadapan kelak.
Projek ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengalami  suasana berada di kampung serta membuat aktiviti bersama penduduk-penduduk kampung. Di sini pelajar dapat menunjukkan sikap prihatin terhadap anggota masyarakat yang memerlukan bantuan demi kesejahteraan bersama serta menunjukkan semangat kekitaan dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian. Selain itu juga, pelajar dapat mengenal pasti corak, budaya dan aktiviti setempat penduduk kampung yang telah dipilih bagi menjayakan program anak angkat tersebut.
Pemilihan kampung dibuat secara perbincangan oleh semua ahli jawatankuasa projek dan dipersetujui oleh pensyarah pembimbing. Kampung yang dipilih adalah Kampung Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor Darul Ehsan.

     Kg.Tg.Sepat
Rajah 1 : Peta Lokasi Kg.Tanjung Sepat

2.0          SEJARAH, CORAK BUDAYA DAN AKTIVITI SETEMPAT PENDUDUK KAMPUNG TANJUNG SEPAT
2.1       Sejarah dan Maklumat Kampung Tanjung Sepat
Sejarah nama Kampung Tanjung Sepat diambil daripada permulaan kawasan yang dahulunya dipenuhi dengan pokok bunga tanjung di kawasan tepi laut serta terdapat banyak ikan sepat yang hidup dan membiak di kawasan berkenaan. Maka wjudlah nama Kampung Tanjung Sepat Darat. Kampung ini terbahagi kepada dua iaitu Kampung Tanjung Sepat Darat dan Kampung Tanjung Sepat Laut. Kampung ini dibuka pada tahun 1890 dan mukim bagi kampung ini adalah Mukim Batu. Manakala kampung ini berada di daerah Kuala Langat dan berada di bawah Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat.
Selain itu, kedudukan kampung ini dari KLIA adalah 35 kilometer dan kedudukan kampung ini dari Kuala Lumpur adalah 100 kilometer. Keluasan kampung ini adalah 2180 ekar dan 100% orang melayu. Di samping itu, jumlah penduduk Kampung Tanjung Sepat adalah seramai 1750 orang dan jumlah rumah sebanyak 225 buah rumah. Kampung ini juga banyak menyediakan kemudahan-kemudahan asas kepada penduduk Kampung Tanjung Sepat antaranya ialah kemudahan saluran air dan eletrik yang baik, kemudahan tempat berkumpul untuk tujuan mesyuarat dan perjumpaan bersama penduduk kampung, kemudahan untuk membuat aktiviti riadah juga disediakan untuk tujuan mengeratkan silaturrahim antara penduduk kampung serta dapat melahirkan warga desa yang sihat dan aktif.
            2.2       Corak Budaya Penduduk Kampung Tanjung Sepat
Penduduk Kampung Tanjung Sepat merupakan penduduk yang mengamalkan corak budaya yang positif dan membanggakan. Sebagai contoh, penduduk Kampung Tanjung Sepat mempunyai daya saing bekerja yang sihat. Mereka rajin mencari mencari peluang pekerjaan dan berusaha dalam pekerjaan yang mereka lakukan. Contohnya, bagi kaum wanita penduduk kampung ini mencari alternatif atau peluang mencari rezeki dengan membuat akitiviti ekonomi desa seperti pembukaan kilang kerepek secara kecil-kecilan (Industri Kecil dan Sederhana), menghasilkan barang daripada sumber semulajadi dan sebagainya.
Selain itu, penduduk Kampung Tanjung Sepat juga merupakan penduduk kampung yang suka menjaga kebersihan dan keceriaan kampung mereka. Mereka aktif menjalankan gotong-royong kampung pada setiap minggu. Ini secara tidak langsung Kampung Tanjung Sepat dipilih sebagai salah sebuah kampung yang layak ke pertandingan Kampung Wawasan 2010 peringkat kebangsaan. Di samping itu juga, keramahan penduduk kampung menjadikan kampung ini sesuai dijadikan tempat menjalankan aktiviti kemasyarakatan serta kerjasama antara ahli jawatankuasa kampung membantu dalam menjalankan projek ini.
                        2.3       Aktiviti Penduduk Kampung Tanjung Sepat
Jawatankuasa Kampung Tanjung Sepat memainkan peranan mereka dengan baik dan aktif dalam menjalankan aktivit-aktivit yang bermanfaat untuk penduduk kampung ini. Antara aktiviti yang melibatkan penduduk Kampung Tanjung Sepat adalah gotong-royong perdana yang dijalankan pada setiap hari jumaat dan sabtu. Aktiviti gotong-royong ini dijalankan dengan kerjasama yang padu dari semua penduduk kampung dengan membersihkan masjid, menceriakan kawasan kampung, memastikan keselamatan kampung terjaga dan terpelihara.
Selain itu juga, bagi golongan wanita penduduk Kampung Tanjung Sepat pula berpeluang untuk melibatkan diri dengan aktiviti yang sihat seperti senamaerobik yang dijalankan pada setiap hari Isnin. Ini secara tidak langsung akan melahirkan rakyat Malaysia yang sihat. Di samping itu juga, penduduk Kampung Tanjung Sepat aktif dalam aktiviti islamik seperti berzanji dan bertadarus al-Quran. Didikan mereka yang teguh kepada ajaran Islam memberi kesan kepada generasi anak-anak mereka kearah membentuk golongan belia yang berakhlak mulia serta berbudi kepada orang tua mereka.
Tambahan lagi, ahli jawatankuasa kampung juga sering kali mengadakan sukaneka peringkat kampung. Sukaneka ini melibatkan semua ahli penduduk Kampung Tanjung Sepat. Menurut Ahli Jawatankuasa Kampung Tanjung Sepat, sukaneka kampung ini bukan sahaja menjadikan penduduk kampung aktif dengan aktiviti yang berfaedah malah memberi peluang kepada penduduk kampung untuk saling beramah mesra antara satu sama lain yang akhirnya akan mengeratkan silaturrahim dan membentuk perpaduan yang kukuh. Penduduk kampung juga tidak mensia-siakan tanah yang mereka miliki untuk berjasa kepada tanah. Penduduk kampung ini juga aktif dalam pertanian sara diri dan komersial antara hasil pertanian mereka ialah kelapa sawit, kelapa, kopi, buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman kontan.
3.0          LATAR BELAKANG KELUARGA ANGKAT DAN MENGENALI HATI BUDI KELUARGA ANGKAT
3.1          Latar Belakang Keluarga Angkat
Keluarga angkat kami adalah kepada En.Tuan Haji Kasirin bin Abdullah iaitu ayah angkat kami. Beliau mempunyai seorang isteri yang bernama Puan Hajah Tuminah bt Katiman iaitu emak angkat kami. Hasil pernikahan, mereka mempunyai bilangan anak seramai enam orang.En.Tuan Haji Kasirin bin Abdullah berasal dari suku kaum jawa dan Puan Hajah Tuminah bt Katiman juga berasal dari suku kaum jawa. Mereka mula tinggal di Kampung Tanjung Sepat pada awal tahun 1961. Ayah merupakan bekas tentera dan pemain muzik bebas dan emak pula suri rumah sepenuh masa. Anak yang masih tinggal dengan ayah dan emak adalah seorang anak teruna mereka yang bernama Mohd. Faiz b Kasirin iaitu abang angkat kami. Saudara Mohd.Faiz b Kasirin bekerja di Politeknik Banting Bahagian Teknologi Maklumat.
3.2          Mengenali Hati Budi Keluarga Angkat
Pada mulanya kami melihat dan mengetahui jawatan ayah iaitu sebagai Nazir Masjid Kg.Tanjung Sepat menyebabkan kami berasa segan dan hormat dengan beliau. Pada firasat kami kali pertama kami bertemu dengan beliau adalah mungkin beliau seorang yang sangat tegas sinonim dengan jawatan beliau pegang namun selepas mengenali hati budi beliau semasa beramah mesra di rumah, maka firasat awal kami terpesong. Karakter En.Tuan Haji Kasirin iaitu ayah angkat kami merupakan seorang yang suka menghiburkan hati dan suka berjenaka. Beliau berbakat dalam bermain alat muzik seperti gitar, biola, piano, seruling dan sebagainya. Beliau juga mempunyai bakat dalam mencipta lagu. Semasa kami di rumah, beliau berkesempatan menunjukkan bakat beliau kepada kami. Kami berasa begitu teruja dan bangga dengan bakat yang beliau miliki.
Puan Hajah Tuminah bt Katiman merupakan emak angkat kami yang sangat prihatin terhadap kebajikan keluarganya dan berjiwa penyayang kepada anak-anaknya. Emak seorang wanita yang lemah lembut dalam perbuatannya dan beliau bertanggungjawab dalam memastikan keadaan rumah berada dalam suasana yang kondusif dan kemas. Beliau juga menjadi penyokong yang setia kepada bakat suaminya serta meminati muzik. Manakala, abang angkat kami iaitu Saudara Mohd. Faiz b Kasirin merupakan seorang bekas mahasiswa Universiti Putra Malaysia dan sekarang beliau sudah mempunyai kerjaya dalam bidang Teknologi Maklumat di Politeknik Banting,Selangor.Beliau seorang yang agak pendiam tetapi mesra iaitu boleh berbincang secara terbuka. Beliau juga belum berkahwin walaupun beliau sudah mencapai umur 27 tahun kerana bagi beliau jikalau beliau berkahwin maka tiada siapa yang akan menjadi teman kepada ayah dan emak di rumah.
4.0          MERANCANG LANGKAH-LANGKAH PELAKSANAAN DAN MENGURUSKAN PROJEK
Projek anak angkat ini telah dirancang rapi oleh ahli jawatankuasa projek sendiri. Pada tanggal 5 Julai 2010 taklimat tugasan telah diberikan oleh pensyarah pembimbing iaitu Puan Norhani Bebe Alta Miah. Setelah taklimat tugasan telah diberikan, mesyuarat kali pertama diadakan untuk melantik ahli jawatankuasa projek. Selama 30 minit bermesyuarat akhirnya perlantikan ahli jawatankuasa dibuat secara undian mengikut kiraan majoriti yang memilih calon-calon yang telah dilantik.
            Berikut adalah nama ahli jawatankuasa projek beserta dengan jawatan mereka:
Pensyarah Penasihat :            Pn Hajah Norhani Bebe Binti Alta Miah
                                                Ahli Jawatankuasa Pelaksana
Pengarah                                : Osman Bin Mat Daud
Timb. Pengarah I                    : Nur Shakirin Binti Ramli
Setiausaha                              : Norliyana Binti Masri
Naib Setiausaha                      : Norhasiswana Binti Jamhuri
Bendahari                                : Syafiqah Izwah Binti Ishak
Biro:
a)    Perhubungan Awam
·         Ahmad Arham Bin Omar
·         Hasnul Huda Binti Yaacob
·         Noorazila Binti Seman

b)    Pengangkutan
·         Hamizan Bin Harun
·         Nur Hidayah Binti Mohd. Azam


c)    Dokumentasi
·         Muhammad Fudhail Bin Razak
·         Irma Binti Abdul Rahman

d)    Penginapan
·         Mohd Fitri Bin Ismail
·         Nurul Nadia Binti Murad

e)    Makanan
·         Muhammad Azman Bin Azahar
·         Marlia Arnida Binti Marrudzuki

f)     Keselamatan Dan Kebajikan
·           Siti Atiqah Binti Ali
·           Siti Hajar Binti Musa

g)    Program
·         Dzul Azizuddin Bin Dzulkifli
·         Isma Hazwani Binti Ismail

h)     Cenderahati
·         Mohd Zaki Bin Mohamed Som
·         Siti Nuraisyah Binti Khairul Fahmi

Setelah ahli jawatankuasa projek dibentuk, setiap ahli jawatankuasa memulakan tugasan masing-masing. Sebagai ahli jawatankuasa bahagian makanan, peranan yang perlu dimainkan adalah perlu mendapatlkan perbelanjaan peruntukan makanan daripada pihak institut. Kami menerima perbelanjaan tersebut daripada Puan Rubaidah.



5.0          AKTIVITI DI KAMPUNG TANJUNG SEPAT
5.1          Laporan Hari Pertama
Pada 7 Ogos 2010 pelajar berkumpul di garaj bas tepat pada pukul 7.30 pagi. Sebelum bertolak, kami membuat pemeriksaan terakhir terhadap barang-barang yang perlu kami bawa. Selepas itu, pensyarah pembimbing kami, Puan Norhani Bebe memberi taklimat ringkas tentang perjalanan kami ke sana dan kami sama-sama berdoa agar perjalanan kami ke Kampung Tanjung Sepat selamat.
            Kami bertolak dari kampus tepat pada pukul 8.00 pagi. dalam perjalanan ke Kampung Tanjung Sepat, kami berhenti di sebuah kedai makan untuk sarapan pagi. selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Kampung Tanjung Sepat. Perjalanan kami mengambil masa selama dua jam, lebih kurang pada pukul 10.00 pagi, kami selamat sampai di Kampung Tanjung Sepat. Kami disambut baik oleh Jawatankuasa Kampung Tanjung Sepat yang sudah bersedia menunggu kami di balai raya kampung. Satu majlis separuh formal diadakan bagi menyambut kedatangan kami dan majlis penyerahan kepada keluarga angkat dibuat bersama.
Rajah 2 : Majlis Penyerahan Keluarga Angkat
            Setelah masing-masing diserahkan kepada keluarga angkat, kami di bawa pulang ke rumah keluarga angkat. Setibanya di rumah, kami di sambut baik oleh ahli keluarga angkat kami iaitu isteri kepada En.Tuan Haji Kasirin b Abdullah. Pada hari yang kami sampai, keluarga En.Tuan Haji Kasirin bin Abdullah hanya tinggal bertiga sahaja di rumah tersebut kerana anaknya yang lain sudah mempunyai keluarga sendiri di bandar. Kami berasa sangat bersyukur dan gembira kerana kedatangan kami disambut ceria oleh Puan Hajah Tuminah bt Katiman yang kami memanggil beliau dengan panggilan “emak” dan Saudara Mohd. Faiz b Kasirin iaitu “abang” kami. Selepas itu, kami telah disediakan sebuah bilik yang agak luas untuk kami bertiga.
           
Rajah 3 : Tuan Haji Kasirin b Abdullah dan Puan Hajah Tuminah bt Katiman
Selepas berehat dan mengemas barang seketika di dalam bilik, kami dijemput untuk menjamu selera tengahari bersama keluarga angkat. Selepas selesai makan tengahari, kami berehat di ruang tamu dan pada masa yang sama kami beramah mesra dan cuba mengenali latar belakang keluarga angkat kami. Kami juga dihiburkan dengan nyanyian ayah yang juga mempunyai bakat dalam bermain gitar. Kami begitu teruja dengan bakat yang ada pada ayah. Kami diceritakan oleh ayah tentang latar belakang ayah yang mempunyai bakat dalam muzik. Ayah seorang pemain muzik yang berbakat dalam mencipta lagu dan pada masa yang sama ayah memperdengarkan sebuah lagu keroncong ciptaannya sendiri yang bertajuk “Kampung Tanjung Sepat”.
            Selepas beramah mesra dengan keluarga angkat, kami berehat seketika untuk bersiap pada petang tersebut bagi menjalankan aktivti gotong-royong dib alai raya kampung tersebut. Lebih kurang pada pukul 5.00 petang, kami bertiga bergerak dari rumah keluarga angkat menuju ke balai raya. Setibanya di balai raya, kami berkumpul dan diberi taklimat ringkas tentang pembahagian tugas mengikut kawasan-kawasan masing-masing. Pembahagian kawasan yang perlu dibersihkan adalah kawasan dalam balai raya, dalam pejabat balai raya, kawasan tandas, kawasan longkang dan dataran balai raya.
            Benar kata pepatah Melayu “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” menjadikan aktiviti gotong-royong kami dapat dijalankan dengan cepat dan sempurna. Selain daripada aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan balai raya, kami juga telah menyusun, menghias dan membuat dekorasi di dalam balai raya untuk pameran seni dan aktiviti seni kami pada keesokkan harinya. Masing-masing saling bantu-membantu dalam menyiapkan tempat pameran dan aktiviti seni kami. Lebih kurang pada pukul 6.45 petang, kami berjaya membuat persiapan tempat untuk aktiviti pada hari esok. Sebelum pulang ke rumah keluarga angkat, kami diberi taklimat ringkas bagi tujuan peringatan terakhir untuk aktiviti malam tersebut iaitu bacaan tahlil dan doa selamat di masjid serta peringatan untuk aktiviti esok.
            Masing-masing pulang ke rumah keluarga angkat untuk menyiapkan diri untuk menghadiri bacaan tahlil dan doa selamat di masjid. Selepas selesai solat maghrib berjemaah, kami bersama-sama jemaah masjid memulakan bacaan tahlil dan doa selamat. Selepas itu, kami pulang ke rumah keluarga angkat selepas selesai solat isya’ berjemaah di masjid. Setibanya kami di rumah, kami berehat seketika dan berbincang bagi melancarkan pameran dan aktiviti seni kami pada keesokkan harinya. Selepas tamat berbincang, kami berehat di bilik untuk tidur.
5.2          Laporan Hari Kedua
Pada 8 Ogos 2010 kami berkumpul dib alai raya kampung tepat pada pukul 8.00 pagi sementara kami menunggu pensyarah pembimbing kami Puan Norhani Bebe, kami membuat persiapan terakhir di balai raya tersebut sebelum kami memulakan senaman aerobik kami. Setibanya Puan Norhani Bebe dib alai raya kami tanpa membuang masa lagi memulakan aktiviti senaman aerobik kami yang di ketuai oleh Saudara Mohd.Zaki b Mohd.Som bersama dengan saya. Kami membuat senaman aerobik selama 30 minit sahaja kerana kami perlu bersiap sedia dengan pameran dan aktiviti seni kami.






                                               
Rajah 4 : Senam Aerobik
            Selepas kami selesai membuat senaman aerobik,kami memulakan pameran dan aktivti seni kami dengan menjemput masyarakat kampung yang telah hadir bagi memeriahkan program kami. Pameran dan aktiviti seni yang telah kami sediakan untuk masyarakat kampung terbahagi kepada empat bahagian iaitu, bahagian kolaj, bahagian resis, bahagian origami dan bahagian kerohanian. Setiap bahagian telah disediakan alatan dan bahan untuk melakukan aktiviti-aktiviti seni dan setiap bahagian terdapat beberapa orang pelajar yang telah diberi tugas untuk mengawal pergerakan aktiviti seni yang dijalankan untuk masyarakat kampung tersebut.
Rajah 5 : Permainan Kanak-Kanak
Rajah 6 : Aktiviti Seni
Selain pameran dan aktivti seni yang telah kami jalankan, kami juga menjalakan permainan yang menyeronokkan untuk masyakat kampung yang telah hadir. Permainan ini diberi peluang kepada kanak-kanak, belia dan veteran. Permainan yang telah dijalankan adalah seperti permainan bola kain pelekat, bowling desa, gula-gula dalam tepung dan sepak bola. Semasa permainan kanak-kanak dijalankan, masing-masing melibatkan diri dengan memberi semangat dan saling tolong-menolong bagi menjayakan program kami. Pada masa yang sama, pameran dan aktiviti seni dijalankan di dalam dewan.
Rajah 7 : Kanak-kanak Melibatkan Diri Dalam Semua Permainan
Selepas permainan kanak-kanak tamat dijalankan, program diteruskan lagi dengan permainan untuk warga belia dan veteran. Permainan yang disediakan adalah seperti pertandingan menghasilkan lukisan.  Suasana kedua-dua aktiviti iaitu pameran, aktiviti seni dan permainan untuk masyarakat kampung begitu meriah, menarik dan kami rasa kami telah berjaya mencapai tujuan projek yang telah kami jalankan ini iaitu menjalankan aktiviti kemsyarakatan bersama masyarakat kampung disamping menabur bakti dengan membuat aktiviti bersama-sama dengan mereka. Selain itu, segala ilmu dan kemahiran dapat dipertingkatkan dalam melengkapkan diri sebagai seorang bakal guru kelak.
Rajah 8 : Aktiviti yang di jalankan
Rajah 9 : Cabutan Bertuah
            Program kami dimeriahkan lagi dengan cabutan bertuah yang dibuat mengikut nombor bertuah iaitu dipilih secara rawak. Sebagai pengacara majlis, saya bertanggungjawab dalam menjemput individu yang akan membuat undian cabutan bertuah secara rawak. Selain itu, sebagai pengacara majlis yang tidak formal, saya juga bertanggungjawab menjadikan program kami pada hari itu sebuah program yang lancar mengikut aturcara serta dalam suasana ceria. Hadiah cabutan bertuah yang telah kami sediakan adalah sebanyak 15 cabutan bertuah, 20 hamper bernilai RM400.00. Kami juga telah menyediakan hadiah bagi pertandingan menghasilkan karya yang terbaik dari kalangan kanak-kanak sekolah rendah serta warga belia.
Rajah 10 : Bakat Yang Terpendam
Selain itu, di sini kami teruja melihat warga kampung mempunyai bakat yang terpendam dalam aktiviti seni dan semangat kesukanan dalam permainan. Pertandingan yang kami sediakan untuk aktiviti seni seperti pertandingan menghasilkan sebuah lukisan (tema bebas). Program kami berjalan dengan lancar dan tersusun mengikut perancangan. Lebih kurang pada pukul 12.30 tengahari program kami hampir tamat, dengan itu program ditutup dengan ucapan terima kasih dari Puan Norhani Bebe untuk seluruh warga kampung yang hadir bagi menjayakan program kami. Selepas itu, program kami tamat dengan acara mengambil gambar bersama dengan sebilangan penduduk kampung yang belum pulang.
Selepas itu, kami bersama-sama membersihkan balai raya, menyususn balik perabot-perabot yang sedia ada di balai tersebut seperti kerusi dan meja. Kami juga memastikan punca eletrik yang kami gunakan berada dalam keadaan yang selamat sebelum kami tinggalkan balai raya tersebut. Setelah selesai membesihkan kembali balai raya kepada keadaan asal, kami berkumpul untuk mendengar taklimat ringkas dari pengerusi projek kami iaitu Saudara Osman b Mat Daud untuk aktiviti esok iaitu hari terakhir kami di Kampung Tanjung Sepat.
Selepas taklimat, kami pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing. Selepas solat maghrib, kami bertiga meminta izin dari ayah dan emak untuk menyertai kawan kami yang lain pergi memancing di jeti. Kami dibawa ke jeti oleh Ketua Kampung sendiri untuk melihat suasana malam di laut serta mencuba untuk memancing. Satu pengalaman baharu bagi kami.  
5.3          Laporan Hari Ketiga
Pada 9 Ogos 2010 iaitu hari terakhir kami di Kampung Tanjung Sepat. Pada hari terakhir tersebut kami berkumpul di balai raya. Selepas berkumpul, kami bergerak menggunakan kemudahan bas institut ke kilang membuat temper. Pada hari terakhir tersebut kami berasa gembira kerana kami diberi peluang untuk melawat ke kilang membuat tempe, kilang membuat kerepek (Industri Kecil dan Sederhana) IKS, melawat lading lembu dan kambing serta kami begitu teruja kerana kami dibawa ke perkampungan orang asli Kampung Tanjung Sepat. Di kilang membuat temper, kami diberi peluang untuk mencuba keenakan temper itu sendiri serta melihat alatan yang digunakan untuk menghasilkan temper tersebut. Selepas melawat kilang temper, kami dibawa melawat ke ladang haiwan ternakan lembu dan kambing. Kami melihat haiwan pertenakan yang dipelihara dijaga dengan rapi dari segi kebersihan dan penempatan haiwan itu sendiri.






Rajah 11 : Melawat Kandang Kambing dan Lembu
            Selepas melawat ladang haiwan pertenakan lembu dan kambing, kami di bawa melawat ke kilang membuat kerepek iaitu merupakan satu industri desa atau mengikut konteks ekonomi iaitu dipanggil Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Di kilang kerepek tersebut, kamidapat melihat secara langsung kaedah dalam menghasilkan kerepek dari peringkat awal lagi. Peringkat pertama bahan mentah seperti ubi dan pisang dibuang kulitnya seterusnya dihiris halus-halus mengikut potongan bulatan. Selepas itu, kerepek tersebut di basuh dan digoreng masak menggunakan minyak masak yang telah dicampurkan dengan sedikit gula dan garam bagi menambah rasa kerepek tersebut.





                                                            Rajah 12 : Melawat Kilang Kerepek

            Selepas itu, kerepek yang telah masak digoreng, kerepek tersebut di toskan di atas sebuah tempat yang mengasingkan minyak dengan kerepek tersebut. Di samping itu juga, kami diberi peluang untuk merasa kerepek yang baharu sahaja diangkat dari kuali menggoreng kerepek, rasanya sungguh enak dan ranggup. Tidak hairanlah produk IKS Negara kita mampu bersaing dengan produk Negara luar yang sama standing kualitinya. Selepas melawat kilang kerepek, kami dibawa melawat Perkampungan Orang Asli Kampung Tanjung Sepat yang tidak jauh dari kawasan kilang kerepek tersebut.
Rajah 13 : Di Perkampungan Orang asli
            Setibanya kami di perkampungan orang asli, kami disambut oleh En Awie. Sebelum membuat majlis penutupan secara tidak formal, kami dibawa melawat pameran-pameran yang terdapat di situ. Antara barangan buatan masyarakat orang asli di kawasan itu sendiri adalah barangan perhiasan yang dibuat dari bahan mentah semulajadi seperti pokok-pokok hutan. Hasil buatan mereka begitu artistik dan sangat menarik perhatian kami. Selepas selesai melawat pameran barangan buatan orang asli, kami memulakan majlis penutupan projek kami di situ. Aturcara majlis adalah penyampaian cenderamata kepada pelajar-pelajar Kuliah PISMP 4.03, cenderamata kepada pensyarah pembimbing kami,Puan Norhani Bebe, kepada pemandu bas kami,En.HafiziKami juga menyerahkan cenderamata tanda kenang-kenangan kepada semua keluarag angkat serta kepada wakil penduduk orang asli di situ.


Rajah 14 : Majlis Penyampaian Cenderamata

Selepas itu, kami mengambil peluang yang ada untuk bergambar bersama keluarga angkat yang hadir serta orang asli setempat. Setelah itu, kami mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga angkat masing-masing, kepada masyarakat orang asli di situ serta kepada penduduk Kampung Tanjung Sepat terutama Jawatankuasa Kampung yang banyak membantu kami dalam menjayakan projek kami di sana. Lebih kurang pada pukul 1.00 petang kami bergerak pulang ke institut.











                                                                       
6.0          PENUTUP
Projek kewarganegaraan ini merupakan projek yang mengaplikasikan teori dan ilmu yang telah dipelajari di bilik kuliah dapat digunakan sewaktu merancang pelaksanaan projek sebelum, semasa dan selepas melaksanakan projek. Projek ini merupakan salah satu penggerak kepada aktiviti pelajar di dalam kampus untuk meneroka di luar kampus agar dapat meningkatkan bukan sahaja ilmu pengetahuan namun kemahiran-kemahiran yang tidak dipelajari secara lansung atau formal seperti di dalam bilik kuliah. Selain itu juga, projek ini berjaya menerapkan nilai-nilai murni dalam diri setiap pelajar. Pelajar dapat meningkatkan kemahiran bekerja secara berkumpulan untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul. Selain itu juga, pelajar dapat mengeratkan lagi silaturrahim di antara mereka kerana setiap aspek perlu dibincangkan bersama dan dipersetujui bersama.
Oleh sebab itu, kejayaan projek ini adalah hasil usaha yang diberikan oleh semua pelajar PISMP 4.03 Sains Sosial serta dorongan semangat yang telah diberikan oleh pensyarah pembimbing, Puan Norhani Bebe bt Alta Miah. Kesepakatan membawa berkat, itulah cogan kata yang banyak memberi inspirasi kepada kejayaan projek ini. Sebagai bakal guru, projek ini juga banyak memberi peluang kepada pelajar untuk membuat kajian tentang peningkatan kemahiran dalam diri setiap pelajar seperti kemahiran interpersonal dan intrapersonal. Segala peluang yang ada digarab sepenuhnya untuk menjadikan pengalaman sebagai pedoman pada masa hadapan.

 

No comments:

Post a Comment